Top posts

Featured Posts

Isu Pati Dari Kacamata Negarawan Sabah

Bahagian 1
Bahagian 2
Oleh : MUTALIB M.D

“Adalah lebih berhemat, jika Kerajaan Persekutuan menghantar mereka ke negeri-negeri lain di Malaysia secara purata 125,000 orang PATI bagi setiap negeri terutama bagi masalah kekurangan tenaga buruh atau untuk kepentingan politik..” kata Tan Sri Simon Sipaun, Mantan Naib Presiden SUHAKAM.

Tan Sri Simon Sipaun merupakan rakan lama saya ketika kami sama-sama dalam perkhidmatan kerajaan dan sikap tegasnya tidak berubah sekalipun telah bersara daripada Kerajaan.

Bagi saya, beliau adalah seorang negarawan yang wajar dicontohi oleh lelaki Malaysia kerana sumbangan dan baktinya kepada rakyat Sabah dan kesinambungan perjuangan hak asasi manusia.

Suaranya yang lantang kadangkala tidak disenangi pemerintah seolah tidak sedar kepada siapa beliau bercakap sehingga seringkali dianggap sebagai suara pembangkang sedangkan pada dasarnya beliau menyuarakan suara rakyat yang tertindas.


Beliau telah berjaya menaikkan imej Malaysia dalam episod hak asasi manusia yang menjadi impian ngeri di kebanyakan negara apabila undang-undang menjadi aksesori pemerintah yang hanya mengkhianati amanah demi mengekalkan kuasa.

“Memang amat MEMALUKAN. Bagi sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, rakyat terpaksa memilih jalan alternatif menyampaikan rasa tidak puas hati melalui jalan yang songsang iaitu menghantar Memorandum kepada Yang DiPertua Agong memberikan gambaran Kerajaan Malaysia telah GAGAL secara TOTAL.”

TAN SRI SIMON SIPAUN (J.P) merupakan seorang negarawan yang paling lantang menyuarakan isu kerakyatan songsang sekalipun beliau merupakan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Malaysia.

Ketika mempengerusikan Persidangan Meja Bulat di sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu, beliau secara sinis membidas sikap sambil lewa Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen Sabah yang dijemput sebagai panel untuk membentangkan kertas kerja, namun ketidak hadiran kedua-dua Pengarah Jabatan berkenaan membuatkan persidangan meja bulat berkenaan gagal mencapai matlamat.

Kenapakah SUHAKAM begitu prihatin dan mengambil berat sehingga kelihatan seolah-olah mencabar dan menuding jari ke arah Kerajaan Barisan Nasional yang dianggap gagal menyelesaikan isu yang berlarutan sekian lama.

Wawancara ini dibuat ketia beliau masih menjadi Naib Presiden SUHAKAM mendedahkan segalanya terutama sikap telus dan tulus SUHAKAM berhubung isu ini.

Mutalib: Sejak bila Tan Sri terlibat atau mewakili SUHAKAM? Boleh nyatakan apakah peranan SUHAKAM dalam konteks hak asasi manusia di Sabah?

SIMON: Saya dilantik sebagai Pesuruhjaya SUHAKAM pada 24 April 2000. SUHAKAM merupakan Institusi Hak Asasi Manusia yang BEBAS dan ditubuhkan oleh Parlimen di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597) dan diwartakan pada 9 September 1999.

Fungsi utama SUHAKAM ialah Memupuk kesedaran dan mendidik masyarakat tentang hak asasi; Memberi nasihat dan membantu kerajaan dalam merumuskan undang-undang dari aspek hak asasi manusia; Mengesyorkan kepada kerajaan untuk menerima dan menandatangani triti-triti Hak Asasi Manusia Antarabangsa dan Menyiasat aduan yang ada kaitan dengan pencabulan hak asasi manusia.

Untuk pengetahuan umum, hak asasi manusia adalah hak-hak kita sebagai seorang manusia yang ada pada kita sejak kita dilahirkan di dunia dan bukannya dianugerahkan oleh sesiapa termasuk kerajaan dan hak berkenaan tidak boleh dirampas daripada kita.

Bagaimanapun, kita harus waspada dalam proses menuntut hak kita, kita tidak boleh mencabul hak orang lain kerana hak manusia diiringi dengan tanggung jawab. Semua manusia mempunyai hak yang sama tanpa mengira status atau kedudukan mereka di dalam masyarakat. Tidak ada golongan atau individu yang mempunyai lebih banyak hak asasi berbanding dengan yang lain dan mempunyai taraf sejagat yang tidak boleh dipisahkan daripada manusia.

Hak asasi manusia merujuk kepada kebebasan asasi seperti termaktub di bawah 30 Perkara Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat yang diluluskan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 10 Disember 1948.

Mutalib: Apakah peranan yang telah, sedang dan akan dimainkan SUHAKAM berhubung kebanjiran warga asing di Sabah dan sejauh mana ianya berjaya menangani isu yang dianggap amat sensitif di Sabah?

SIMON: Sebagai sebuah badan bebas, kita tidak terlalu tertakluk kepada protokol atau karenah birokrasi dan kerana itu kadang kala kita membuat teguran secara terbuka. SUHAKAM tidak akan dapat melakukan apa-apa jika rakyat tidak memberi kepercayaan sepenuhnya kepada SUHAKAM untuk menyiasat dan membantu mereka menangani isu berkaitan hak asasi.

TERTINDAS...Penduduk tempatan di Tegupi Lahad Datu ini tertindas oleh dasar pembangunan tanah FELDA sehingga terpinggir dan merempat di negeri sendiri. Ke mana mereka mahu mengadu jika Kerajaan lebih mengutamakan orang asing di Gugusan Tanah Rancangan Felda, sedangkan mereka hanya menghitung hari yang tidak pasti!

Kita telah melakukan banyak tindakan yang proaktif dan tidak menunggu rakyat datang mengadu kepada kita. Kita mempelbagaikan mekanisme agar suara rakyat sampai terus kepada kita, terutama dengan turun padang.

Oleh kerana peranan kita tertakluk di bawah Akta Suhakam, maka kita menjadikannya sebagai garis panduan dalam setiap tindakan agar tumpuan kerja kita lebih kemas dan terancang.

Kita tidak membataskan tumpuan kita dalam isu kebanjiran warga asing di Sabah, malah semua aspek hak asasi yang terabai atau perlaksanaan dasar kerajaan yang terbabas tanpa sebarang teguran terutama melibatkan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

SUHAKAM berkuasa menyiasat aduan mengenai pencabulan hak asasi manusia atas kehendaknya sendiri atau atas suatu aduan yang ditujukan kepada SUHAKAM tetapi tidak dibenarkan menyiasat perkara yang belum selesai di mana-mana mahkamah atau yang diputuskan secara muktamad oleh mahkamah.

Pendirian SUHAKAM berhubung isu PATI amat jelas dan kita dengan tegas menggesa kerajaan agar memantau isu ini secara bersungguh-sungguh melalui penguatkuasaan mapan undang-undang secara mandatori serta adil dan saksama, namun kita tidak boleh mengharapkan kerajaan menyelesaikan isu yang berlarutan selama lebih 30 tahun ini dalam masa sehari semalam.

Mutalib: Adakah Tan Sri sedar bahawa terdapat ramai warga asing yang mendapat kad pengenalan projek? Apa persepsi Tan Sri berhubung kebanjiran warga asing di Sabah yang didakwa memiliki kad pengenalan projek atau warganegara songsang?

SIMON: Ya, saya menyedari hal ini berlaku dan menjadi keluhan rakyat sejak sebelum SUHAKAM ditubuhkan terutama apabila berlaku Tsunami politik di Sabah akibat ketidak stabilan politik kerana faktor demografi yang tidak seimbang di antara tiga suku kaum utama di negeri ini.

Tambahanpula terdapat gelombang besar penghijrahan beramai-ramai orang asing ke Malaysia melalui pintu Imigresen yang bolos sehingga tidak terkawal.

Dalam hal ini saya tidak pasti berapa ramai bilangan mereka dan hanya mengetahui kehadiran mereka begitu mengancam keselamatan negara setelah membaca akhbar dan buku saudara. Belum ada angka rasmi setakat ini.

Memang tidak wajar. Keadaan ini bukan sahaja mencabul hak asasi penduduk asal Sabah, malah mengancam keselamatan Negara kerana mereka yang mendapat kad pengenalan projek ini mudah keluar masuk tanpa sebarang sekatan dan mereka inilah yang menjadi pelindung kepada PATI yang baru tiba.

Saya pandang serius masalah ini dan sedang menjalankan siasatan rapi dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, terutama mencari jalan penyelesaian.

Mutalib: Adakah akan berlaku pengambilalihan songsang (reverse take-over) dan bagaimanakah ianya berlaku kerana majoriti rakyat Sabah tidak faham maksud terminologi berkenaan? Dengan kata lain Tan Sri mengakui kehadiran rakyat asing sebagai pemilih berdaftar? Bolehkah Tan Sri huraikan secara mendalam?

SIMON: ‘Reverse Take-Over’ ini merupakan terminologi yang sering diguna pakai dalam pasaran saham. Beberapa pemegang saham minoriti akan bergabung secara pakatan sulit menjual saham mereka kepada pemegang saham minoriti yang berminat.

Akhirnya setelah dijumlah, saham yang dimiliki oleh pemegang saham yang asalnya hanya minoriti mengatasi pemegang saham majoriti sehingga berlakulah peralihan kuasa eksekutif syarikat berkenaan.

Dalam senario politik di Sabah, demografi penduduk berubah secara mendadak sehingga pertambahan penduduk bumiputera Islam yang terdiri daripada warga asing yang mendapat kerakyatan segera melonjak mengatasi kaum lain. Jika sekiranya pertambahan penduduk ini akibat daripada pemberian kewarganegaraan kepada PATI, maka akan berlaku PENGAMBILAN SONGSANG (reverse take-over) iaitu apabila jumlah PATI yang mendapat kad pengenalan projek bergabung memberikan undi kepada pemimpin yang mereka pilih, maka kita akan kehilangan kuasa.

Jika pertambahan penduduk ini tidak terkawal dalam masa 20 atau 30 tahun akan datang semua anak PATI yang telah menerima kad pengenalan projek secara automatik menjadi warganegara Malaysia berasaskan Jus Soli, maka mereka berkuasa untuk menentukan hala tuju dan berkuasa memegang tampuk pemerintahan negara ini sebagaimana yang terjadi di Fiji dan Madura.

Akibatnya, apabila pertambahan penduduk Islam tidak terkawal, maka besar kemungkinan mereka akan mendesak Sabah berpisah daripada Malaysia dan bergabung dengan autonomi Mindanao atau Kalimantan, bergantung kepada etnik majoriti.

Ketika itu penduduk asal yang yang menjadi minoriti tidak mampu berbuat apa-apa dan keselamatan mereka akan terancam. Namun saya harap perkara ini tidak akan terjadi kepada negeri kita.

Mutalib: Sebagai pesara kerajaan dan kakitangan awam yang paling lama berkhidmat di Sabah, terutama ketika menjadi Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri pernah menguruskan secara langsung pembayaran wang cession kepada waris Kesultanan Sulu. Kenapakah bayaran tersebut dibuat sekalipun Sabah sudah merdeka dan membentuk Malaysia pada 16 September 1963?

SIMON: Secara berterus terang, saya hanya melihat baucer bayaran kepada cession berkenaan kerana ianya dikendali urus oleh Ketua Penolong Setiausaha (KPSU) di Jabatan ketua Menteri Sabah dan bukannya terus di bawah pemerhatian saya.

Tentang bayaran yang dibuat, saya kurang pasti dan tidak mengerti kenapa Kerajaan Negeri terus menerus membuat bayaran. Sewajarnya isu ini harus dikaji secara mendalam kerana memberi implikasi penting kepada Sabah dan Malaysia.

Apabila kita terus membayar, maka kita seolah-olah mengiktiraf tuntutan Filipina ke atas kedaulatan Sabah yang sudahpun merdeka setelah Malaysia terbentuk pada 16 September 1963.

Apakah kita mengiktiraf ’Little Philippine’ yang kini menjadi faktor dominan di Sabah?

Kini tibalah masa dan ketikanya Kerajaan Malaysia campurtangan dan mengarahkan Peguam Negara mengkaji semula isu ini jika Peguam Negeri Sabah tidak mampu atau kurang berpengalaman mengkaji kesan dan akibat yang ditimbulkan daripada membuat bayaran secara berterusan.

Sekalipun ada bukti kukuh arahan mahkamah atau sebarang perjanjian, namun ia hendaklah DIBATALKAN atau kita harus berbuat sesuatu agar sambutan Jubli Emas kita tidak pincang

Mutalib: Adakah Tan Sri bersetuju dengan pendapat saya bahawa bayaran Cesion tersebut tidak perlu lagi dibuat kerana sejak kematian Sultan Sulu yang terakhir pada 1936, tidak ada lagi waris yang sah menerima wang berkenaan dan semasa Tan Sri masih lagi berkhidmat, wang tersebut dibayar atas nama pemegang amanah iaitu ULKA T ULAMA dan bukannya atas nama Sultan Sulu lagi?

SIMON: Ya, memang saya bersetuju. Ia tidak patut lagi dibayar. Sekarang baru saya melihat konsekwensi dengan jelas. Ketika menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, saya tidak pernah mengurus secara langsung walaupun bertanggung jawab mempastikan semua akauntabiliti Kerajaan Negeri dibuat secara ekonomi, efisien dan efektif.

Jabatan Ketua Menteri mempunyai lebih 1,000 orang kakitangan dan Jabatan Kerajaan yang lain 30,000 kakitangan yang terletak terus di bawah bidangkuasa Setiausaha Kerajaan Negeri.

BUKTI....Cek bayaran Cession ini dibuat atas nama Tetuan ULKA T ULAMA bagi pihak Puteri PUTLI DINCHIRAIN KIRAM pentadbir bagi pihak Dayang-Dayang, Haji Piandao Kiram.

Oleh kerana ada pegawai khas yang dilantik untuk mentadbir urus bayaran cession, maka saya kurang memberikan tumpuan kerana tugas yang dilakukan hanya meneruskan bayaran dan tidak berlaku sebarang komplikasi atau masalah sampingan yang memerlukan campurtangan saya.

Sepanjang bertugas sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan dan Setiausaha Kerajaan Negeri sejak 1988 hingga 1993, saya TIDAK PERNAH melihat sebarang perjanjian atau dokumen asal kenapa kita harus terus membayar wang cession berkenaan. Ketika itu kita hanya meneruskan apa yang dilakukan sebelum ini tanpa sebarang bantahan. Saya juga tidak tahu berapakah bayaran yang telah dibuat dan sampai bila ia harus dibayar. Saya juga tidak pasti kepada siapa ianya dibayar.

SEUMUR HIDUP SAYA belum pernah melihat sebarang penjanjian atau arahan mahkamah yang menghendaki Kerajaan Negeri meneruskan bayaran RM5,300 setahun sebagai bayaran cession kepada Sultan Sulu atau warisnya. Saya tidak pasti dokumen berkenaan wujud atau tidak. Kalau ada, di mana disimpan?

Kenapa tidak dijadikan dokumen awam agar rakyat boleh merujuk atau dipaparkan kepada rakyat agar mereka tidak memandang serong tindakan kerajaan negeri membazirkan wang rakyat membayar cession yang mungkin tidak lagi perlu.

Oleh kerana sepanjang lima tahun saya bertugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri adalah masa yang paling sibuk terutama pentadbiran yang kucar kacir kerana ketidak stabilan politik akibat Rusuhan 1986 dan kesan daripada kemasukan ramai warga asing, maka saya terlepas pandang isu ini yang kini menjadi amat penting untuk diselesaikan secara bestari.

Walaupun jumlah yang dibayar amat kecil, namun impaknya amat besar terhadap kedaulatan dan keamanan serta masa hadapan Sabah di arena politik global.

Kita seolah-olah masih membayar nafkah kepada waris anak atau isteri yang telah meninggal dunia!

Mutalib: Berhubung dengan Penempatan Pelarian Filipina di Kinarut Papar yang diwujudkan sekitar 1970-an, adakah ianya sah dari segi undang-undang jika kerajaan masih mengekalkannya sehingga ke hari ini sedangkan Malaysia tidak pernah menandatangani Protokol 1967 berhubung Orang Pelarian?

SIMON: Tidak sah. Kewujudan Penempatan Pelarian Filipina di Sabah adalah mencabul Perlembagaan Malaysia. Kerajaan Negeri yang ditadbir oleh USNO ketika itu telah menyalahgunakan kuasa dengan membuka pintu seluas-luasnya kepada Pelarian Filipina ini, kononnya atas dasar perikemanusiaan.

Ketika itu Tun Mustapha mempunyai kuasa darurat dan seolah-olah kuasa autonomi yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.

Apabila Tun Mustapha melakukan tindakan yang double-standard dan Kerajaan Persekutuan ketika itu seolah-olah membiarkannya, maka adalah mustahil bagi kerajaan berikutnya menghalau mereka keluar setelah selama ini dibenarkan TINGGAL tanpa tempoh dengan alasan negara mereka di kancah peperangan.

Alasan palsu ini rupanya mempunyai niat tersirat kerana para pelarian ini disewa untuk melancarkan RUSUHAN 1986 dan direkrut sebagai pengundi hantu.

Selatan Filipina sudah selamat sejak 1980-an lagi dan sewajarnya mereka dihantar balik selepas setahun atau dua tahun tinggal secara haram di negara ini.

Kita minta Menteri Luar Malaysia dan Peguam Negara mengkaji isu ini secara saksama bagi menjamin keharmonian sejagat terutama para pendatang dari negara jiran ini mempunyai hubungan diplomatik dengan kita sejak North Borneo lagi.

Kita tidak mampu lagi bertolak ansur. Jika Kerajaan Persekutuan mengenyah keluar semua Pelarian Vietnam kembali ke negara asal atau ke negara ketiga dengan menutup Pulau Bidong, tetapi TIDAK DAPAT menyentuh atau menghalau keluar WALAU seorangpun Pelarian Filipina yang ada di Sabah sejak 36 tahun lalu.

Mereka ini telah mencabul Hak Asasi Manusia kerana mewujudkan suasana tidak selesa, tidak selamat dan mengancam keselamatan negara akibat pelakuan dan penglibatan mereka dalam jenayah seperti pelacuran, perjudian, dadah, seksual dan segala gejala sosial sehingga Sabah tidak lagi aman dan selamat untuk didiami.

TAPAK…..Kewujudan Pusat Penempatan Pelarian di Kinarut yang terletak di atas tapak Tanah Bumiputera Kampung Kinarut Laut menimbulkan persoalan daripada jawapan yang dicari semua pihak.

Rakyat Sabah hidup dalam ketakutan dan merasa hidup mereka tidak keruan. Hak mereka untuk bergerak bebas telah tersekat oleh ketakutan akan diganggu oleh PATI yang kebanyakannya pelaku jenayah.

Polis gagal menjaga keamanan di kawasan penempatan pelarian ini dan memastikan kawasan sekitarnya benar-benar selamat daripada ancaman PATI dan zon jenayah.

Kawasan di pinggir bandar telah menjadi koloni setinggan PATI sehingga kawasan perumahan tidak lagi selamat didiami.

Jenayah yang berbentuk kekerasan seperti ragut, rogol, pergaduhan, serang menyerang di antara kumpulan tertentu, samun, rompakan bersenjata dan pembunuhan berlaku sewenang-wenangnya tanpa kawalan.

Mutalib: Adakah Tan Sri sedar bahawa tapak tempat Skim Penempatan Pelarian Filipina di Kinarut tersebut terletak di atas TANAH ADAT yang diwartakan sebagai Tanah Simpanan Tapak Perumahan Bumiputera Kampung Kinarut Laut. Tidakkah ini mencabul hak asasi manusia dan kenapa Kerajaan Negeri Sabah membiarkan perkara ini berlaku? Apakah tindakan yang boleh diambil oleh SUHAKAM untuk memperbetulkan perkara ini?

SIMON: Tidak. Saya tidak tahu sehinggalah saudara memberi tahu saya hal ini. Walaupun kerajaan boleh mengguna mana-mana tanah kerajaan untuk sebarang kegunaan, namun menggunakan Tapak Perumahan Bumiputera Kampung Kinarut Laut sebagai Pusat Penempatan Pelarian Filipina sejak 1972 sehingga kini adalah amat memalukan dan mencabul Hak Asasi Anak Negeri Sabah yang sepatutnya mendapat tapak rumah di kawasan yang diberikan kepada Pelarian Filipina ini. Adalah tidak wajar jika surau dijadikan tempat pembuangan sampah.

Bukan sahaja menghina agama malah mencetuskan suasana huru hara kerana syak wasangka akan menjadi peledak sengketa perkauman dan keagaaman. Saya akan menjalankan siasatan rapi dan mengesyorkan cadangan penyelesaian kepada kerajaan agar segera menangani isu ini sebelum bertambah parah.


MARUAH....Bermaruahkah Kerajaan Negeri menempatkan Pelarian Filipina di atas tanah adat sedangkan ramai anak negeri terpaksa bersetinggan di tanah kerajaan?

Mutalib: Semasa Tan Sri menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, adakah Tan Sri pernah menegur atau menasihati Ketua Menteri Sabah bahawa Unit Penempatan Khas di bawah Jabatan Ketua Menteri menghentikan amalan melindungi Pelarian Filipina dan kenapa akhirnya unit tersebut dimansuhkan?

SIMON: Saya hanya pegawai kanan kerajaan. Di Sabah, Ketua Menteri mempunyai kuasa eksekutif. Kuasa saya amat terbatas dan tidak melibatkan dasar. Saya hanya melaksanakan dasar dan arahan kerajaan. Saya tidak berpeluang untuk mengkaji perkara ini secara mendalam kerana bebanan tugas lain.

Secara peribadi, unit ini tidak patut wujud atau ditubuhkan kerana seolah-olah kerajaan negeri menganggap mereka ini sebagai pelarian perang. Dengan memberi dokumen banci dan akhirnya menjadi ’senjata’ kerana Polis mengiktiraf kad banci sekalipun tidak diiktiraf sebagai dokumen pengenalan diri mengikut undang-undang.

Unit ini dimansuhkan kerana tidak relevan lagi terutama apabila kerajaan mula menyedari seolah-olah menggalakkan kehadiran mereka dan mengiktiraf SUAKA (perlindungan diplomatik) kepada para PATI yang diberi taraf pelarian secara tidak sah ini. Kini saya difahamkan mereka sudah mendapat taraf PENDUDUK TETAP!

Mutalib: Saban hari aduan demi aduan diterima daripada rakyat tempatan bahawa warganegara asing yang telah mendapat kad pengenalan projek menceroboh tanah adat yang telah mereka usahakan sejak berpuluh tahun lalu dan anehnya kerajaan meluluskannya kepada warga asing songsang yang rapat dengan wakil rakyat. Adakah ianya wajar dan apakah peranan SUHAKAM dalam hal ini?

SIMON: Memang tidak wajar dan keterlaluan. Kita mengalu-alukan aduan seperti ini dan kita akan menyiasat. Kita belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung isu ini.

Kita banyak menerima kes permohonan bertindih dan rampasan tanah oleh syarikat besar atau tokoh politik, tetapi belum terima sebarang aduan PATI merampas tanah rakyat atau tanah adat.

Kita hanya terlibat dengan isu tanah melibatkan warga asing ini apabila penduduk kampung Maang membantah perpindahan penduduk Sri Tanjung yang terlibat dengan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kerana mereka mendakwa bahawa penduduk yang akan dipindahkan ke kampung mereka adalah PATI.

Kita masih mengkaji isu ini secara mendalam sebelum mengesyorkan kepada kerajaan tindakan susulan bagi mengatasi bukan sahaja masalah penduduk setinggan di Sri Tanjung, malah di seluruh Sabah terutama di kawasan Lapangan Terbang dan paya bakau. PATI tidak wajar dibenarkan berleluasa menceroboh tanah kerajaan kerana mereka TIDAK BERHAK!

Mutalib: Ada berpendapat SUHAKAM ditubuhkan untuk meredakan kemarahan rakyat bagi mengelakkan rakyat mengadu kepada pembangkang sedangkan mereka berpendapat SUHAKAM tidak mampu berbuat apa-apa kerana ditubuhkan Kerajaan?

SIMON: Itu hanya persepsi nakal sahaja. SUHAKAM umpama Pegawai Perhubungan kepada kerajaan. Penubuhan SUHAKAM memenuhi standard piawaian global yang menghendaki setiap negara mempunyai suruhanjaya hak asasi manusia masing-masing agar semua masalah rakyat dapat disalurkan terus.

SUHAKAM merupakan institusi Hak Asasi Manusia yang perlu bebas daripada segala kekangan atau bentuk penindasan. Kita akan memastikan bahawa segala urusan kita mengutamakan rakyat yang membentuk kerajaan.

Oleh kerana SUHAKAM ditubuhkah oleh Parlimen, maka kita beranggapan bahawa penubuhan SUHAKAM mencerminkan kehendak rakyat kerana ahli parlimen dipilih oleh rakyat.

Akta SUHAKAM telah mendapat sokongan daripada semua ahli parlimen termasuk pembangkang. Maka SUHAKAM merupakan institusi hak asasi manusia yang baik untuk negara, kerajaan dan rakyat.

Saudara mungkin tidak sedar bahawa daripada 10 buah negara ASEAN, hanya empat negara sahaja yang mempunyai institusi hak asasi iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand.

Keempat-empat institusi daripada empat negara ini mempunyai hubungan dan kerjasama erat secara bestari dan mengadakan mesyuarat dari semasa ke semasa dengan tujuan bertukar pandangan, pengetahuan, pengalaman dan mencari penyelesaian alternatif terutama sekali masalah dan isu ’menceroboh sempadan’ (cross border) oleh rakyat negara masing-masing.

Namun oleh kerana SUHAKAM mempunyai 18 orang Pesuruhjaya yang dilantik oleh Yang DiPertuan Agong atas syor Perdana Menteri bagi tempoh selama dua tahun, maka keputusan yang akan dibuat perlu dicapai secara SEBULAT SUARA.

Inilah yang akan memudarkan harapan rakyat kerana setiap pesuruhjaya berasal daripada pelbagai latar belakang dan sudah tentu mempunyai pelbagai pandangan dan memerlukan masa untuk membuat keputusan.

Namun kita sedang mengemaskan jentera SUHAKAM agar keputusan dapat dibuat secara cepat, tepat dan saksama.

Pendek kata SUHAKAM adalah Ciptaan Parlimen dan bukannya badan bukan kerajaan atau NGO. SUHAKAM merupakan sebuah institusi hak asasi manusia yang bebas bagi melindungi dan mempromosi hak asasi rakyat Malaysia.

SUHAKAM bukanlah Pro-Kerajaan, bukan Pro-Pembangkang, bukan Pro-NGO, bukan Pro-Sesiapa, hanya Pro-Hak Asasi Manusia.

BERSAMBUNG…..

Dalam siri akan datang, Tan Sri Simon akan mencadangkan jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah PATI dan yang berkaitan dengannya.

(PERINGATAN : Semua kenyataan yang disampaikan oleh Tan Sri Simon di dalam wawancara khas ini adalah pendapat beliau secara peribadi berdasarkan kepada pengalaman dan pemerhatian beliau. Apa yang dinyatakan tidak semestinya mencerminkan pendirian SUHAKAM atau DIPERSETUJUI oleh rakan sejawatnya di dalam SUHAKAM.)

No comments:

Post a Comment

Search This Blog