Top posts

Featured Posts

Komuniti Orang Asal Sabah gasak Peguam Besar Negeri Sabah fasal NCR

Oleh Gregory Gondua 
KOTA KINABALU: Penduduk Orang Asal di Sabah hari ini meluahkan perasaan marah dengan kenyataan kontroversial yang dibuat oleh Peguam Besar Negeri Sabah, Roderic Fernandez, sekaligus bertindak menggesa agar beliau meletak jawatan.

Seramai hampir 30 orang wakil penduduk daripada semua daerah termasuk dari pantai timur negeri sebulat suara membuat gesaan tersebut dalam satu perjumpaan di Penampang Selasa lalu berikutan kenyataan yang dibuat oleh Fernandez baru-baru ini yang dipetik sebagai berkata bahawa Tanah Hak Adat Orang Asal atau Native Customary Right (NCR) tidak wujud selepas tahun 1930.

Para wakil penduduk itu mengatakan bahawa mereka amat kecewa dengan Fernandez sambil mendakwa bahawa beliau ternyata kurang faham tentang NCR. Mereka juga menyifatkan kenyataan beliau sebagai tidak menghormati hak asasi Orang Asal dan juga berbahaya.

“Ternyata sekali beliau kurang memahami apa itu NCR. Sebagai Peguam Besar Negeri beliau sepatutnya faham sepenuhnya agar dapat membantu mengatasi pelbagai konflik yang timbul berhubung dengan NCR.

"Kalau beliau kurang kefahaman, siapa lagi yang kami boleh harapkan kerana undang-undang sahaja yang kami dapat berpaut untuk menuntut hak asasi kami. Atas tanggapan yang beliau tidak faham tentang NCR, kami sebulat suara menggesa adalah lebih baik beliau meletak jawatan,” kata salah seorang jurucakap penduduk, Ejim Mankong dari Kampung Komburongo, Kudat.

Peguam Besar Sabah,
Datuk Anthony Roderic Fernandez
Beliau menambah bahawa komuniti Orang Asal di Sabah yang telah menduduki tanah mereka dari zaman nenek moyang lagi seharusnya disokong oleh undang-undang untuk mempertahankan hak asasi mereka.

“Tetapi keadaan adalah sebaliknya apabila seorang pegawai kerajaan yang tertinggi yang bertanggungjawab dalam hal undang-undang membuat kenyataan yang boleh ditafsir sebagai tidak menghormati hak asasi penduduk Orang Asal di negeri ini dan juga berbahaya kerana ia adalah amat sensitif,” kata Ejim.

Kenyataan Fernandez itu bukan sahaja telah menimbulkan kemarahan pihak komuniti malah ia juga telah mendapat kritikan daripada pelbagai pihak termasuk dari badan-badan bukan kerajaan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan para pemimpin politik yang mewakili komuniti Orang Asal.

Ketua Menteri Sabah, Musa Aman pula telah memberi jaminan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik yang menguntungkan semua pihak berhubung isu ini sambil mengatakan bahawa kerajaan sentiasa memandang serius isu NCR.

Walaubagaimanapun, para wakil penduduk menegaskan bahawa isu berhubung dengan hak asasi seseorang tidak boleh dirunding.

“Perundingan sepatutnya tidak timbul dalam hal berhubung dengan hak asasi seseorang,” tegas Hastey Raymond, salah seorang wakil penduduk dari daerah Tongod.

Beliau turut kecewa dengan jaminan yang diberikan oleh Musa sambil mengingatkan bahawa apa pun jalan penyelesaian yang bakal diambil, hak asasi penduduk tidak akan dikompromi demi kepentingan pihak lain.

Beliau juga menambah bahawa sebagai pegawai tertinggi kerajaan di negeri ini, penduduk berharap Musa akan mempertahankan hak asasi mereka dengan apa cara pun.

“Kalau bukan dengan Ketua Menteri dan kerajaan, siapa lagi yang boleh kita harapkan?” katanya.

Kata mereka lagi NCR diiktiraf oleh undang-undang tanah negeri dan juga instrumen-instrumen antarabangsa seperti Deklarasi Hak Orang Asal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDRIP).

Namun isu ini sering mewujudkan konflik diantara penduduk Orang Asal bukan sahaja di Sabah tetapi di negara ini dengan pelbagai pihak lain khasnya pihak kerajaan dan syarikat. Beberapa kes pernah dibawa ke mahkamah dan keputusan memihak kepada penduduk Orang Asal yang menuntut.

Menurut para wakil penduduk itu lagi NCR bukan sekadar hal pemilikan tanah yang mereka telah duduki bergenerasi lamanya, tetapi ia adalah cara kehidupan tradisi mereka.

“Tanah adat adalah sinonim dengan identiti dan cara kehidupan kami Orang Asal . Ia adalah hak kami sama seperti orang lain yang mempunyai hak ke atas harta benda mereka apa lagi yang mereka miliki daripada generasi dahulu. Kami minta hak kami dihormati,” kata Hastey.

2 comments:

Search This Blog