Top posts

Featured Posts

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang Sempena Pesta Gawai - Kaamatan 2016 Peringkat Negeri Pulau Pinang

Tuan Tuan dan Puan Puan yang dihormati sekalian ,

Selamat datang ke Pesta Gawai & Kaamatan Peringkat Negeri 2016. Terima kasih diucapkan kepada Pastor Joe Nyuin selaku Pengerusi Pesta Gawai & Kaamatan Peringkat Negeri 2016 dan AJK Pesta Gawai & Kaamatan daripada gereja-gereja setempat serta komuniti Sabah dan Sarawak serta Setiausaha Politik saya, YB Wong Hon Wai atas kerjasama yang diberikan bersama-sama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menjayakan majlis pada petang ini.

Seperti mana yang kita semua sedia maklum, ini merupakan acara tahunan yang ketiga yang diadakan sejak tahun 2014.


Pesta Gawai dan Kaamatan adalah perayaan Pesta Menuai yang dirayakan oleh masyarakat Sarawak dan Sabah. Hari Gawai disambut dengan sangat meriah oleh suku kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu di Sarawak. Ia adalah perayaan kesyukuran selepas musim menuai padi. Sambutan Pesta Gawai dirayakan selama satu bulan dan negeri Sarawak telah menetapkan bahawa 1 dan 2 Jun sebagai hari cuti umum untuk perayaan tersebut. Di Sabah pula, Pesta Kaamatan atau Tadau Kaamatan disambut oleh suku kaum Kadazan-Dusun, dan juga masyarakat peribumi yang lain seperti Murut, Rungus, Lundayeh dan lain-lain. 30 dan 31 Mei merupakan cuti umum di Sabah bagi tujuan merayakan Hari Kaamatan.

Kerajaan Negeri menyambut Pesta Gawai dan Kaamatan pada hari ini untuk memberi penghormatan kepada rakyat Sabah dan Sarawak kerana anda adalah rakyat Malaysia sungguhpun jarak kita jauh tetapi masih dekat di hati.

Saya juga percaya melalui acara seperti ini kita menunjukkan bahawa ada kesatuan dan keharmonian dikalangan semua masyaratkat yang berbilang bangsa tidak kira suku dan agama. Inilah yang kita mahukan iaitu untuk terus bersatu tanpa ada persengketaan diantara suku bangsa dan saling menerima serta menghormati tidak kira apapun latar belakang mahupun kepercayaan.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakyat Sabah dan Sarawak yang tinggal di Pulau Pinang dan bekerja di pelbagai sektor industri yang sekaligus turut menyumbang kepada sektor pembangunan ekonomi di negeri ini. Kami faham kebanyakan anda berhijrah ke Pulau Pinang kerana tidak mempunyai peluang pekerjaan sedemikian di negeri asal mereka.

Dan ini menimbulkan tanda tanya kepada kita semua. Bagaimanakah sebuah negeri seperti Sabah dan Sarawak yang paling kaya di Malaysia tetapi bukan sahaja tidak mampu menyediakan peluang pekerjaan seperti ini tetapi masih ada begitu ramai golongan termiskin. Sabah dan Sarawak mempunyai pelbagai sumber asli - tanah, kayu balak, minyak dan gas berbanding Pulau Pinang yang tidak langsung mempunyai sumber asli. 


Meskipun mempunyai pelbagai kekayaan, tetapi rakyat di negeri itu masih tidak mempunyai apa- apa. Sedangkan di Pulau Pinang sungguhpun kita tidak mempunyai kekayaan seperti di Sabah dan Sarawak, rakyat di negeri ini masih mampu mengecapi kejayaan. 


Perbezaannya yang berlaku ini adalah disebabkan Sabah dan Sarawak mempunyai masalah buaya -  bukan buaya empat kaki tetapi buaya dua kaki. Sekiranya hanya ada buaya empat kaki ini tidak mendatangkan masalah - kita boleh tembak mati sahaja. Masalahnya adalah buaya dua kaki ini kerana ia sangat bahaya. Sekiranya kita tembak, dia boleh tembak kita kembali.


Di Pulau Pinang kita boleh berasa bangga kerana kita sudah menangkap kesemua buaya dua kaki ini. Oleh itu Pulau Pinang sebagai sebuah pentadbiran yang bersih telah dapat memastikan pentadbiran dapat dijalankan secara Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) di mana kita mencapai lebihan Belanjawan setiap tahun, hutang kerajaan di antara yang paling rendah dan juga kadar penggangguran yang paling rendah di Malaysia iaitu sebanyak 1.6% berbanding dengan 2.6% di Malaysia.


Kesemua kejayaan ini dapat dikecapi hasil daripada kerajaan yang bersih. Saya yakin, percaya dan pasti - sekiranya di Sabah dan Sarawak yang mempunyai hasil kekayaan semulajadi yang begitu besar dan juga penduduk yang begitu cerdik dan pandai, boleh mendapat kerajaan seperti Pulau Pinang yang bersih, cekap, akauntabel dan telus, maka Sabah dan Sarawak pasti boleh mengecapi kemajuan yang jauh lebih pantas daripada Pulau Pinang. Mungkin pada ketika itu, anda semua tidak perlu datang ke negeri ini untuk bekerja sebaliknya rakyat Pulau Pinang yang perlu ke sana untuk bekerja. 

Itulah perbezaan di antara sebuah negeri yang bersih dan berjiwa rakyat. Tempat Sabah dan Sarawak sepatutnya tidak harus diperkotak-katikkan. Sabah dan Sarawak adalah salah satu daripada tiga entiti yang menubuhkan Malaysia. Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada 14 buah negeri yang membentuk Malaysia. Itulah sebabnya saya ingin menyarankan Perkara 1(2) Perlembangan Persekutuan hendaklah dipinda semula untuk mencerminkan kedudukan ini. Kembali semua kepada perkara asal Perlembagaan Persekutuan di mana Maalysia adalah gabungan Semenanjung, Sabah dan Sarawak bukan seperti sekarang. Malaysia adalah gabungan 13 buah negeri.

No comments:

Post a Comment

Search This Blog