Top posts

Featured Posts

PERUTUSAN YB DATUK SERI PANGLIMA HJ LAJIM HJ UKIN SEMPENA TADAU KAAMATAN 2016

Kotobian Tadau Tagayo do Kaamatan.

Tadau Kaamatan tiba lagi. Di sana-sini sambutan Kaamatan dapat kita saksikan, tanda kesyukuran rakyat Sabah terutama sekali masyarakat Kadazan-Dusun-Murut yang telah menyambutnya sejak awal tamadun di bumi Sabah ini.

Parti Keadilan Rakyat juga baru saja menganjurkan dengan jayanya Tadau Kaamatan peringkat negeri di Keningau Sabtu lalu yang telah dirasmikan oleh Presiden Parti, YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


Tompinaiku ngawi, Kaamatan akan lebih bermakna sekiranya hasil tuaian kita bertambah baik dan jika rakyat jelata kita dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti. Sehubungan ini, Keadilan beriltizam mencari jalan terbaik untuk mensejahterakan dan memakmurkan rakyat Sabah.

Saya menyeru para petani dan usahawan kita agar lebih gigih dalam membangunkan usahatani, mengambil kira permintaan dalam negeri dan juga luar negeri yang semakin meningkat,  khususnya di rantau ASEAN yang sedang pesat membangun.

Sungguhpun hasil pertanian di banyak tempat terjejas oleh cuaca yang kering sejak kebelakangan ini, janganlah kita terus beralah. Kerajaan Negeri yang bertanggung jawab pula seharusnya membangunkan sistem saliran moden untuk membantu usaha tani di negeri ini.

Namun yang menyedihkan sehingga kini belum ada satupun terusan atau sistem saliran moden yang meluas telah diadakan oleh Kerajaan Barisan Nasional di Sabah.

Selain untuk tanaman kelapa sawit, tanah-tanah kita yang cukup luas dan subur ditambah dengan sungai yang banyak, masih gagal dieksploitasi oleh agensi pertanian. Tanaman getah yang giat digalakkan pula menerima tamparan hebat dengan penurunan berterusan harga getah kononnya di pasaran sedangkan barangan berasaskan getah asli seperti tayar dan glove pula terus meningkat harganya.

Saudara-saudari sekalian, sudah tiba masanya perubahan diperlukan agar golongan petani dapat dibela, dan supaya kerjaya ini akan menjadi tarikan kepada belia tempatan.

Saudara sekalian, GST 6% yang diperkenalkan oleh Kerajaan BN memang telah mengakibatkan penurunan nilai pendapatan dan kuasa membeli rakyat. Ini sekali gus telah menekan kehidupan banyak keluarga dan boleh menyebabkan kadar kemiskinan meningkat di Sabah.

Semua ini kita boleh atasi dan elak dengan menyokong perubahan-perubahan baru yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan seperti terkandung dalam manifesto kita yang lalu dan bakal ditambah baik dalam manifesto kita dalam masa terdekat ini.

Sekian. Kotobian Tadau Kaamatan. Kaansayan Arau Maayoh Ru Napangan Nanantab.

YB DATUK SERI PANGLIMA HAJI LAJIM HAJI UKIN
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, Keadilan Sabah, merangkap
ADUN Klias dan Ketua Pembangkang Sabah

No comments:

Post a Comment

Search This Blog