Top posts

Featured Posts

Mengapa UK tidak penjarakan pemisah Scotland?

Wong Chin Huat, Malaysia Insider
Dua hari selepas Malaysia menyambut harijadi yang ke-51, bekas kuasa penjajah kita, United Kingdom (UK) akan menghadapi saat genting hidup-matinya: pungutan suara Scotland untuk menuntut kemerdekaan.

Soalan yang cukup menghairankan kita ialah mengapa UK tidak menggunakan Akta Hasutannya untuk menahan, menyiasat, mendakwa dan mempenjarakan golongan pemisah Scotland ini?


Akibatnya kepada UK jika Scotland merdeka

Kehilangan Scotland amat besar bagi UK. Bukan sahaja UK akan hilang 1/3 wilayah dan 1/10 penduduknya, tetapi lebih lagi ia akan hilang prestijnya sebagai kuasa dunia. Dalam Kesatuan Eropah (EU), UK yang menjadi lemah akan semakin terpinggir.

Bukan sahaja tiada lagi Kingdom of Scotland untuk disatukan (United) dengan Kingdom of England, malah Great Britain tidak sesuai lagi dipakai sebagai namanya kerana itu merujuk kepada seluruh pulau yang merangkumi England, Scotland dan Wales.

Paling penting sekali, kedudukan UK sebagai ahli tetap berkuasa veto dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) – legasi kemenangan Pihak Berikat atas Pihak Axis bersama-sama Amerika, Cina, Rusia dan Perancis itu mungkin hilang.

Jika Scotland mengisytiharkan selepas kemerdekaannya UK menjadi dua buah negara baru, England (dengan Wales dan Ireland Utara) mungkin tidak dapat menjadi mewarisi kerusi itu.

Malah kapal selam berkuasa nuklear di markas Trident mungkin terpaksa dipindah.  

Perbandingan dengan negara lain

Kemerdekaan Scotland bukan sahaja membawa padah kepada UK, malah juga kepada parti-parti politiknya dan beberapa negara Eropah yang lain.

Untuk kehilangan ini, Perdana Menteri David Cameron mungkin akan dijatuhkan oleh parti Konservatifnya.

Malah Ketua Pembangkang Parlimen Ed Miliband mungkin juga akan disalahkan dan digulingkan terlebih dahulu oleh Parti Buruh kerana selama ini Scotland hampir adalah “deposit tetap” Parti Buruh.

Parti Buruh memenangi 41 daripada 59 kerusi (69%) yang mewakili Scotland di Parlimen Westminster (kebangsaan). Ini tidak terlalu jauh kalau dibandingkan dengan kemenangan BN dalam 48 daripada 57 kerusi (84%) yang mewakili Malaysia Timur di Parlimen Persekutuan kita.

Tanpa Scotland, peluang Parti Buruh untuk memerintah negara serpihan UK itu akan menjadi agak tipis.

Maka kemerdekaan Scotland daripada UK lain sekali daripada penceraian Singapura daripada Malaysia pada 1965 atau penceraian Slovakia daripada Republik Czech pada tahun 1992.

Dalam kes Malaysia dan Czechoslovakia, perpisahan itu sebenarnya menguatkan kedudukan parti pemerintah di kedua-dua negara yang “tinggal” dan yang “keluar”.

Sebenarnya, dalam kedua-dua kes ini, perundingan penceraian dimulakan oleh pihak yang “tinggal” dan tidak mendapat sokongan media massa.

Sebaliknya, kemerdekaan Scotland akan ditentukan oleh rakyat Scotland, bukan elit atasan.

Seramai 97% warga Scotland yang layak mengundi berdaftar untuk mengundi dan undi “ya” dan undi “tidak” dijangka akan menjadi sangat dekat. 

Semasa orang Scotland berasa bangga kerana mereka dapat membincangkan dan menentukan penceraian negara mereka dengan begitu demokratik, rasional dan bertamadun, negara-negara Eropah lain seperti Sepanyol, Belgium, Itali, dan Perancis merasa sangat risau dengan perkembangan ini.

Dalam kata lain, orang Scotland berbahagi tentang sama ada negara mereka harus berpecah daripada UK. Tidak kira apa keputusan itu, tidak kira betapa kecilnya undi lebihannya, keputusan itu akan dihormati oleh semua pihak dalam masa beberapa tahun.

Sekiranya Scotland berjaya merdeka, Catalan yang kini sebahagian daripada Sepanyol dan Flanders (berbahasa Belanda) yang kini sebahagian daripada Belgium mungkin akan menjadi negara baru.  

Dan EU yang kini mempunyai 28 negara ahli mungkin akan melihat bilangan ahlinya berganda. Sempadan antarabangsa Eropah banyak berubah selepas peperangan.

Kali terakhir ini berlaku tanpa pertumpahan darah yang serius – kecuali Bosnia, Croatia dan Serbia – ialah apabila Soviet Union dan Yugoslavia tumbang dengan berakhirnya Perang Dingin. Percubaan Rusia untuk mengubah sempadan Ukraine dan sebelumnya di Georgia amat ditentangi oleh masyarakat antarabangsa.

Tetapi sekalipun penceraian itu berlaku dengan cara yang aman dan bertamadun, ia masih merugikan pihak yang ditinggalkan. Maka Sepanyol dan Belgium menyatakan azam mereka menolak kemasukan Scotland yang merdeka ke dalam EU, supaya Scotland yang kesendirian akan mencegah gerakan pemisahan yang lain. 

Mengapa tidak gunakan penjara dan senapang?

Kita yang kononnya mempunyai nilai-nilai Asia mungkin tidak dapat faham – mengapa orang Eropah bodoh sangat, tidak menggunakan kekerasan untuk memecahkan gerakan pemisahan sahaja?

Di China, semua pengerak pemisahan – tidak kira pengebom Uyghur yang membunuh orang lain atau sami Tibet yang membakar diri dalam protes – dipatahkan dengan keras dan kejam.

Dari Filipina, Indonesia, Thailand, Burma, Sri Lanka, India ke Pakistan, golongan pemisah yang berjuang dengan pena dijawab dengan penjara dan mereka yang berjuang dengan senjata dijawab dengan senapang.

Kecuali Timor Timur yang berjaya membebaskan diri daripada penjajahan Indonesia selama 25 tahun, Aceh yang berjaya mendapat kedudukan wilayah istimewa dan Filipina Selatan yang cuba, gagal dan cuba lagi pelan autonomi, tidak ada contoh kejayaan yang lain.

Negara-negara bangsa berjaya mengekalkan sempadan mereka sekalipun itu kejayaan itu mungkin diangkat oleh pengaliran darah.

Jika cara penyelesaian secara keganasan itu dikatakan nilai Asia, maka tidak lama kemudian orang Eropah/Barat masih lagi orang Asia. Dalam abad ke-20, mereka masih berfikir seperti orang Asia hari ini.

Kemerdekaan Ireland daripada UK pada 1922 dicapai hanya setelah peperangan yang berlangsung selama dua tahun dan melibatkan hampir 50,000 askar daripada kedua-dua pihak.

Di bawah pemerintahan diktator General Francisco Franco yang berakhir hanya pada 1975, komuniti minoriti Sepanyol terutamanya Basques, Catalan dan Gracia banyak ditekan. Dan rakyat Basques menjawab keganasan dengan keganasan. Keganasan hanya berkurangan secara perlahan-lahan selepas Sepanyol menjadi demokrasi.

Di Amerika Syarikat, Perang Saudara dalam abad ke-19 berlaku tidak secara langsung kerana negeri-negeri Selatan ingin mengekalkan sistem pengabdian tetapi tercetus apabila negeri-negeri Selatan berpecah untuk membentuk negara baru, Confederated States of America.

Cinta tidak dapat dipaksa

Sememangnya UK memansuhkan Akta Hasutannya pada tahun 1967, 19 tahun selepas akta seumpamanya diperkenalkan ke Malaya, tetapi itu bukan sebabnya golongan pemisah Scotland tidak dipenjara, Parti Kebangsaan Scotland (SNP) dapat menerajui Kerajaan Wilayah Scotland dan akhirnya Scotland dapat mengundi untuk menentukan masa depan mereka pada Khamis depan.

Apa yang berlaku ialah seperti negara Eropah/Barat lain, UK kini melihat negara sebagai milik rakyat dan bukan rakyat milik negara.

Kalau negara itu milik rakyat, maka pengekalan atau pemansuhannya, atau perubahan sempadannya seharusnya bergantung kepada kebergunaan negara itu kepada rakyatnya.

Negara wujud hanya untuk memajukan kebajikan rakyat, bukan menjahanamkannya.

Hubungan negara dan rakyat ini boleh diibaratkan seperti perkahwinan dan individu-individu yang berkahwin. Apakah perkahwinan itu wujud untuk membahagiakan si suami dan si isteri, ataupun perkahwinan itu harus dikekalkan walaupun suami dan isteri sengsara?

Sementara cinta itu tidak dapat dipaksa, ia boleh dipelihara, dipupuk dan dikembangkan.

Jika perkahwinan itu menemui kebuntuan dan suatu pihak itu menuntut penceraian, pihak yang lain seharusnya duduk berunding untuk mencari pengaturan yang dapat membawa kebahagiaan kepada kedua-dua pihak, dan bukannya membelasah, mengurung malah mengancam untuk membunuh pihak yang ingin bercerai.

London kini cuba menawarkan syarat-syarat yang lebih baik untuk mengekalkan perkahwinan Scotland dengan bahagian UK yang lain. Saya berharap tawaran itu cukup baik untuk menawan kembali  hati Scotland.

Pada prinsipnya, saya berpegang kepada pandangan salah seorang pengasas Amerika Syarikat, James Madison, bahawa negara yang besar lebih selamat daripada kezaliman kerana populasi yang besar lebih cenderung bersifat majmuk untuk menjadi semakan dan imbangan.

Menjelang Hari Malaysia yang mulia, saya tidak dapat tidak teringatkan ejekan Presiden Sukarno 51 tahun dahulu bahawa satu-satunya perubahan yang akan dibawa oleh projek Malaysia ialah perpindahan Pejabat Tanah Jajahan (Colony Office) dari London ke Kuala Lumpur.

Jika kita benar-benar cintakan Malaysia, kita mesti membuktikan ramalan Sukarno yang berniat jahat itu salah sekali.

Sebaliknya, sesiapa yang menganggap Sabah dan Sarawak sebagai tanah jajahan Malaya adalah pengkhianat dan musuh dalam selimut. Jika Malaysia berpecah, mereka akan diingati dalam sejarah sebagai golongan pemisah Malaya.

Saya tidak percaya kepada penceraian tetapi saya percaya sepenuhnya hak untuk meminta cerai, itu adalah jaminan perkahwinan yang bahagia. Hanya apabila kita takutkan penceraian, kita akan hargai teman hidup kita.

Maka, saya berdoa Malaysia akan wujud selama-lamanya sebagai penggabungan kerana cinta, tidak sekali-kali sebagai percantuman kerana paksa. – 14 September, 2014.  

No comments:

Post a Comment

Search This Blog