Top posts

Featured Posts

Tun M: Dasar Najib rosakkan hubungan antara kaum

PETALING JAYA: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa tegurannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana beliau sangat sayang terhadap bangsa dan negara.
Tun Mahathir juga menceritakan yang beliau pernah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman dan dipulau oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi serta difitnah oleh orang ramai kerana tiada siapa yang sanggup menegur pemimpin kerajaan.
“Malah penyokong kerajaan sendiri tidak pernah menegur pemimpin. Jika kerana menegur saya akan didera, terpaksalah saya terima.
“Bukanlah saya tidak sayang pemimpin. Tetapi saya lebih sayang bangsa dan negara saya,” katanya di dalam entri terbarunya di blog chedet.cc.
Katanya lagi, beliau juga tidak menyangka yang pencapaian Najib dalam Pilihanraya Umum ke-13 lebih buruk berbanding Tun Abdullah.
“Harapan saya, Najib akan mengambil ikhtibar dari prestasinya yang buruk dalam Pilihanraya Umum ke-13.
“Malangnya sehingga kini tidak ternampak apa-apa perubahan dari segi dasar atau pendekatan walaupun saya cuba menyampaikan pendapat saya.
“Saya tidak ada pilihan selain dari menarik balik sokongan saya. Ini pun tidak berkesan. Oleh itu terpaksalah saya menegur,” tambahnya.
Tun Mahathir kemudiannya menambah, ada sesetengah pihak yang memberitahu kepada Najib bahawa beliau telah memburukkan pemerintahannya.
“Saya tidak akan menyangkal kerana saya telah berkali-kali menegur dasar-dasar kerajaan sekarang.
“Hanya apabila ditegur sahaja barulah pemimpin akan sedar akan kesalahan dan mungkin akan memperbetulkannya,” jelasnya.
Tegasnya lagi, beliau melihat bagaimana orang Melayu tidak mudah menegur pemimpin. Walaupun pemimpin jelas bersalah, tidak ada siapa yang sanggup menegur secara terbuka.
“Tetapi di belakang pemimpin mereka akan keluarkan kata-kata yang kesat terhadapnya,” ujarnya.
Jelasnya lagi, dengan pemansuhan ISA dan undang-undang buang daerah ia tidak sedikit pun mengurangkan tentangan oleh parti lawan.
“Sebaliknya jenayah bertambah dengan banyaknya kerana pembebasan ketua-ketua geng. Demikian juga dengan sikap merendah diri kepada negara jiran sehingga urusan dalam negeri pun tertakluk kepada pendapat kerajaan negara jiran.
“Tetapi pendapat kaum dan parti yang kuat menyokong untuk menyelamatkan kedudukan kerajaan tidak diberi layanan yang saksama,” katanya.
Ujarnya, wang kerajaan diguna untuk mempengaruhi sokongan rakyat apabila sahaja pilihan raya umum diadakan. Ini menjadikan rakyat terlalu bergantung kepada kerajaan untuk segala-galanya.
“Bagi yang betul-betul miskin, bantuan seperti ini memanglah wajar. Tetapi beribu rakyat yang ditawar menolak bantuan wang seperti ini.
“Semangat rakyat untuk bekerja menjadi luntur apabila mereka diberi ganjaran tanpa apa-apa usaha. Semangat ini tidak akan menolong pembangunan negara,” tegasnya.
Kata Tun Mahathir, dasar ekonomi mengutamakan tuntutan pengguna. Impot barangan digalakan dan industri tempatan diabaikan, bahkan dihalang oleh dasar kerajaan.
“Cuti ditambah sehingga adakalanya pekerja bercuti lebih satu minggu. Sebaliknya gaji minimum dinaikkan tanpa mengambilkira kenaikan kos yang boleh menjadikan perniagaan dan perusahaan tidak punya daya saing dengan barangan impot.
“Sesungguhnya banyaklah dasar, pendekatan dan perbuatan kerajaan pimpinan Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara,” ujarnya.

2 comments:

  1. Replies
    1. Saya sarah type....ya saya ketujuh pendapat Tun M

      Delete

Search This Blog