Top posts

Featured Posts

Pemimpin BN Sabah Perlu Berani – STAR

Kota Kinabalu:“Para pemimpin BN Sabah, sama ada yang telah terpilih atau tidak terpilih sebagai Wakil Rakyat dalam pilihan raya umum lalu digesa lebih berani bersuara berkaitan hak Sabah.   Sudah sampai masanya mereka menyedari bahawa Sabah sebenarnya tidak perlukan Malaya dalam aspek apa pun, dan malah, Malaya sedang amat memerlukan Sabah sekarang.Gesaan ini dibuat oleh Jalibin Paidi, Ketua Penerangan STAR Sabah, sebagai mengulas kenyataan yang dibuat oleh Datuk Donald Mojuntin, Setiausaha Agung UPKO.
Menjadi takut, dan terlalu berhati-hati membuat desakan tidak memberi kebaikan kepada Sabah. Pemimpin Malaya akan terus selesa dan anggap Sabahan tidak dalam terdesak dan tidak serius menuntut keadilan.

Sebagai contoh, bila pemimpin Sabah akui Sabah sebagai “Fixed Deposit” BN, pemimpin Malaya dengan sewenang-wenangnya menganak-tirikan Sabah seperti bantuan kepada mangsa banjir baru-baru ini. Apabila Semenajung dilanda banjir, 1-Malaysia diwar-warkan tentangnya, bantuan mencurah-curah datang. Sebaliknya bila Sabah dilanda banjir, berita hanya tersiar sehari kemudian dan bantuan juga tidak setanding di Malaya" ujar Jalibin lagi.

Beliau turut tidak bersetuju dengan kenyataan Datuk Donald bahawa Sabah tidak terjamin dari segi keselamatan jika berpisah dari Malaysia.

"Bukanlah niat kita untuk berpisah dari Persekutuan Malaysia. Tapi jika Malaya dan kerajaan Persekutuan tetap enggan tunaikan janji bahawa Sabah ini setaraf dengan Malaya, mengapa Sabah tidak berhak menuntut pemisahan?

Semua 20 terma seperti tertulis dalam 20-Perkara yang merupakan pra-syarat Sabah bersetuju bergabung membentuk Malaysia dan Artikel VIII dalam Perjanjian Malaysia 1963 mesti dihormati dan dilaksana oleh kerajaan Persekutuan.  Jika tidak, pasti sentimen berpisah akan terus meningkat, terutama anak muda di Sabah.   Mencari alasan keselamatan untuk menutup kepincangan hanya memberi isyarat pada pemimpin Malaya bahawa Sabah kurang kesungguhan menuntut hak mereka" ujar Jalibin lagi.

Sebagai rekod, salah satu sebab mendorong Sabah bergabung membentuk Malaysia ialah faktor ancaman keselamatan dari Filipina dan Indonesia.  Namun apa yang kini terjadi, demi untuk kepentingan politik, rakyat Filipina dan Indonesia sebaliknya diberi kerakyatan dan IC dengan hak mengundi.   Daripada ia hanya berbentuk ancaman, kini mereka menjadi sebahagian dari penduduk Sabah.

Menyentuh soal Sabah terpaksa mengstrukturkan semula kewangan dan ekonomi andai berpisah dari Malaysia, Jalibin mengulas bahawa Datuk Donald lebih melihat masalah berbanding peluang keemasan yang bakal terhidang.

"Jika Sabah mendapat hak autonomi sahaja pun, hasil minyak Sabah sepatutnya 70% milik Sabah. Sabah juga akan berhak menerima 40% daripada hasil cukai dan bukan cukai yang dipungut dari Sabah. Jumlah keseluruhan hasil Sabah setahun adalah tidak kurang dari RM40-RM50 bilion.   Bayangkan kepesatan pembangunan yang Sabah nikmati dengan budget sebesar itu berbanding budget sekitar RM4 billion sekarang" tegas Jalibin.

Apabila pemimpin BN Sabah terus berlembut dan gagal bersuara untuk kepentingan Sabah, maka selamanya Sabah akan menjadi sumber Malaya untuk mengaut hasil semata-mata,

"Mamangkis adalah sebahagian budaya kita, identiti kita sebagai masyarakat pribumi Sabah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Search This Blog