Top posts

Featured Posts

UBF Akan Terus Bergerak Memberi Ilmu Kepada Rakyat - Dr. Jeffrey

“United Borneo Front (UBF) akan terus melaksanakan program pendidikan untuk memberi ilmu kepada rakyat khasnya di Sabah dan Sarawak mengenai sejarah yang benar dan tepat serta hak-hak kemerdekaan Sabah dan Sarawak”, demikian dinyatakan oleh YB Dtk Dr.Jeffrey G.Kitingan sempena ulangtahun ke-3 penubuhan UBF.

YB Dtk Dr.Jeffrey G.Kitingan selaku pengerusi UBF dan ADUN Bingkor turut menjelaskan bahawa walaupun usia UBF baru genap 3 tahun tetapi pencapaiannya amatlah membanggakan. 

Beliau juga berpendapat bahawa penambahan kerusi yang dimenang oleh pihak pembangkang di Sabah juga dicapai melalui sumbangan usaha UBF memperkasakan rakyat tentang hak-hak kemerdekaan dan autonomi Sabah dan Sarawak.

Bergerak melalui program “Borneo Tea Party” (BTP), UBF telah Berjaya mengadakan hampir 5,000 BTP di seluruh Sabah sejak dilancarkan pada 16 Disember 2011.   Malah BTP juga telah diadakan di merata tempat di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.  Sebagai rekod istilah BTP diadaptasi dari peristiwa Boston Tea Party (BTP) yang berlaku pada 16 Disember 1773, yang mana telah menyemarakkan semangat nasionalisme di kalangan rakyat Amerika Syarikat dan kemerdekaan Negara itu.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, beliau berkata bahawa melalui BTP, rakyat Sabah dan Sarawak khasnya dan rakyat Malayasia amnya didedahkan dengan fakta sejarah yang benar tentang Sabah, proses penubuhan Malaysia, khususnya intipati dalam Perjanjian Malaysia iaitu Artikel VIII dan 20-Perkara.   Rakyat juga disedarkan tentang penjajahan minda dan polisi yang tidak adil terhadap Sabah dan Sarawak sejak pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. 

Menjelang tahun 2104, beliau menegaskan bahawa UBF akan terus bergerak maju memperkasakan rakyat di Sabah dan Sarawak.  Untuk itu modul dan kurikulum BTP telah diperkemaskinikan, penambahan latihan kepada para penceramah BTP dan mengaktifkan UBF di seluruh Sabah dan kawasan-kawasan lain. 

Pada masa yang sama, UBF akan terus bekerjasama dengan badan-badan NGO yang turut mempunyai misi yang sama, khususnya yang berpaksi kepada Agenda Borneo dan perjuangan memulihkan hak-hak kemerdekaan dan autonomi Sabah dan Sarawak.

Beliau menegaskan bahawa pendidikan sejarah yang tepat akan menyemarakkan solidariti dan semangat cintakan Sabah di kalangan rakyat Malaysia di Sabah tanpa mengira perbezaan agama, kaum dan fahaman politik.   Justeru itu dengan sokongan yang sekian bertambah kukuh, beliau mendorong supaya lebih ramai rakyat Sabah, khususnya generasi muda yang tampil berjuang melalui UBF untuk memulihan hak-hak mereka demi masa depan yang lebih cerah untuk mereka dan cucu-cicit mereka.

Bersempena ulangtahun ke-3, UBF telah mengadakan beberapa aktiviti kemasyarakatan termasuk kempen derma darah dan juga suatu acara memperkenangan ulangtahun akan diadakan pada 20hb. Disember 2013 di ibu pejabat UBF di Kota Kinabalu.

1 comment:

  1. sokong, sokong dan sokong terus...

    ReplyDelete

Search This Blog