Top posts

Featured Posts

Komen Najib fasal "Allah" dan lain-lain di Kongres ke-28 PBS

Ezra Haganez 

PENAMPANG : "Jangan main api". Itulah komen Perdana Menteri, Datuk Najib Razak, kepada mereka yang cuba mengeruhkan keadaan berikutan keputusan mahkamah rayuan mengharamkan sebuah majalah Katolik, The Herald, daripada menggunakan nama "Allah" dalam penerbitannya.

"Jika ada yang main isu ini jangan main api sebab api akan membakar dirinya," kata Najib dalam ucapan perasmian mesyuarat agung tahunan kali ke-28 Parti Bersatu Sabah (PBS) di Hongkod Koisaan dekat sini Isnin lalu (24 Okt 2013).

"Keputusan mahkamah rayuan itu tidak sentuh kebebasan Kristian. Perjanjian 10 Poin (keputusan kabinet persekutuan yang menggariskan 10 jaminan kebebasan umat Kristian mengamalkan agama mereka di Malaysia) terus akan dipakai," kata Najib disambut tepukan perwakilan PBS yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Menurut Najib, rahsia keharmonian kaum di Malaysia bukanlah formula yang sukar tetapi hanya dengan wujudnya perasaan saling menghormati antara satu sama lain di kalangan pelbagai kaum dan agama.

"Pokoknya rahsia yang boleh membawa keharmonian bukanlah terlalu sukar tetapi berasas kepada pertimbangan yang waras yakni orang Islam tidak seharusnya menyakiti hati orang bukan Islam dan orang bukan Islam pula jangan sakiti hati orang Islam. Begitulah ringkas sahaja.

"Jika kita sematkan ini, kita boleh hidup harmoni seperti yang saya nampak dalam keluarga dalam PBS hari ini, seperti saya pernah cakap sebelum ini Sabah adalah cerminan kepada perpaduan rakyat Malaysia," katanya.

Najib yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) memuji Sabah sebab "sebelum beliau memperkenalkan slogan "Satu Malaysia", Sabah sudahpun mengamalkannya.

Tambahnya lagi hanya dengan adanya keharmonian kaum dan agama, kerajaan akan dapat membawa lebih banyak pembangunan di Sabah terutama sekali di kawasan desa.

Mengulas ucapan Presiden PBS, Joseph Pairin Kitingan, sebelum itu, Najib memberi jaminan Kerajaan Persekutuan akan terus memberi perhatian yang lebih kepada keperluan Sabah terutama sekali dari segi prasarana jalan raya, bekalan air dan bekalan elektrik.

"Kerajaan Persekutuan akan terus beri perhatian sehabis baik kepada Sabah untuk menambahkan peruntukan untuk memenuhi keperluanya seperti jalan raya, air dan elektrik.

"Bukan nak bocorkan Belanjawan Negara tapi dengarlah Bajet Negara (2014) Jumaat ini (yang beliau akan bentangkan) mungkin apa yang Presiden PBS sebut itu ada dalam Bajet Jumaat ini," katanya sambil menambah beliau akan meluluskan peruntukan untuk kerja-kerja menyukat Tanah Adat (NCR) di Sabah.

Mengenai masalah pendatang tanpa izin yang masih ramai di Sabah, Najib berkata semua pihak sedang menunggu keputusan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenainya tetapi kerajaannya berharap satu penyelesaian yang tuntas akan ditemui berhubung isu itu.

Dalam ucapan 40 minit itu, Najib juga menyentuh iltizam kerajaannya untuk tidak meninggalkan satu pun komuniti di Sabah daripada arus pembangunan, cuma pembangunan tidak mungkin dapat didatangkan sekali gus kepada semua tempat.

"Sabah ini negeri yang sangat besar, kawasan parlimen Kinabatangan pun lebih besar dari Pahang, negeri terbesar di Semenanjung, jadi bayangkanlah betapa panjang batang paip perlu dipasang, berapa panjang wayar elektirk perlu digunakan dan berapa banyak tar bitumin untuk mengaspal jalan raya di Sabah," ujarnya lagi.

Najib juga memuji rakyat Sabah kerana sudah matang dan boleh berfikir apabila menolak janji-janji kosong pihak parti pembangkang dalam pilihanraya umum Mei lalu.

"Dalam pilihanraya lalu, Sabah terus menyumbang (kerusi) kepada BN. Siapa kata Sabah nak hilang, siapa kata nak ubah. Bukan kali ini, lain kali pun tak tentu lagi," katanya memperli pihak pembangkang yang menggunakan slogan 'ini kalilah" dalam cubaan mereka menumbangkan BN Mei lepas.

"Mana boleh kalau kita berhutang, tak perlu bayar balik hutang. Kalau kita yang berhutang dan tak perlu membayar hutang kita, siapa yang akan bayar hutang kita nanti. Ini janji yang tidak bertanggungjawab," katanya mengulas janji pembangkang untuk menghapusakan hutang pendidikan peringkat universiti jika mereka mengambil alih tampuk pemerintahan.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Perdana Menteri, Datin Rosmah Mansor, Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman, dan para pemimpin negeri dan bahagian PBS.

2 comments:

  1. apalaah Jib..buat sabahan meluat jer..

    ReplyDelete
  2. Shit this Umno and Malayan politics. Rotten to the core. Free yourself of this Umno-made bondage.

    ReplyDelete

Search This Blog