Top posts

Featured Posts

Bekalan diesel semakin meruncing

Oleh Kevin Ivan

KOTA KINABALU: Kira-kira tiga minggu lalu, FMT telah menyiarkan keluhan beberapa aktivis Sabah mengenai ketiadaan bekalan diesel di ibu negeri, namun hari ini keadaan semakin meruncing sehingga kabinet negeri Sabah pun naik rungsing.

Semakin ramai pengguna kenderaan diesel di sekitar bandaraya ibu negeri mengeluh dan marah atas ketiadaan bekalan diesel di seluruh kawasan.
Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Ketua Menteri, Teo Chee Kang, hari ini juga sudah mula rimas meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) jangan asyik duduk diam tanpa memberi sepatah pun penjelasan kepada rakyat.

“Tolong jelaskan kenapa pula tiba-tiba tiada bekalan diesel sedangkan tiada pun lonjakan permintaan diesel sejak kebelakangan ini.

“Pihak Kementerian perlu siasat termasuk mengambil tindakan menarik balik lesen mereka yang cuba menjual diesel bersubsidi terus kepada sektor industri untuk mengaut keuntungan maksimum,” katanya memberi gambaran bahawa ada kemungkinan hal itulah yang menyebabkan ketiadaan diesel di stesen-stesen pam minyak Sabah sekarang.

Bagaimanapun seorang menteri lain Sabah, Jainab Ahmad, hari ini cuba meredakan kerimasan para pengguna dengan membuat kenyataan kekurangan diesel itu hanyalah sementara sahaja berikutan gangguan bekalan di stesen-stesen minyak.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal-Ehwal Pengguna Sabah itu
mempertahankan KPDNKK dengan berkata kementerian pusat itu sentiasa memantau bekalan diesel di negeri Sabah.

“Kementerian berkenaan akan mengambil langkah meningkatkan kuota bekalan diesel bersubsidi jika ada keperluan dan justifikasi,” kata Jainab di sini.

Yang menyedihkan di Sabah, setakat ini nampaknya persatuan-persatuan pengguna gagal bersuara untuk kepentingan pengguna dalam hal diesel ini.

Seorang guru besar yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda diesel,
berkata “kerajaan telah gagal menangani isu diesel sebab sudah hampir
sebulan isu itu berlarutan”.

“Mana boleh tiada diesel sebab ada bekalan diesel bersubsidi, mungkin mereka jual kepada pihak lain pada harga yang lebih tinggi. Itulah sebab stesen minyak tiada bekalan diesel dan kementerian pula enggan memberi penjelasan atau laporan siasatan mereka.

“Mungkinkah ada pihak berkepentingan turut terlibat dalam skandal diesel ini? Mana kita tahu, semua hal mereka yang kontrol, kenapa diam-diam?” ujar guru besar itu lagi.

No comments:

Post a Comment

Search This Blog