Top posts

Featured Posts

Marin tahan kapal curi balak

Siasatan awal polis mendapati kapal tersebut
telah membawa muatan kayu balak tanpa
sebarang dokumen yang sah.
KUCHING: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Lima Sarawak berjaya mematahkan enam cubaan penyeludupan balak secara haram dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM1.8 juta sejak Januari lalu hingga sekarang.

Komandernya, Asisten Komisioner Mohd Saleh Mat Jani berkata kes terbaru melibatkan tangkapan kayu balak haram di bawah Akta Perhutanan 1984 menerusi Ops Pensura yang diketuai Sarjan Zainudin Jamal bersama tiga anggota lain menahan sebuah kapal di sekitar perairan Tanjung Engkilo, Batang Rajang, Sibu kira-kira 5.40 pagi semalam.


Beliau berkata, pemeriksaan terhadap kapal yang dikendalikan oleh tiga kru warga tempatan itu mendapati ia membawa muatan sebanyak 372 kayu balak pelbagai jenis dan saiz dengan anggaran nilai rampasan termasuk kapal berkenaan ialah RM386,000.

“Siasatan awal polis mendapati kapal tersebut telah membawa muatan kayu balak tanpa sebarang dokumen yang sah dan kita percaya kayu balak berkenaan diperoleh secara haram.

“Polis mendapati modus operandi pihak yang terbabit adalah dengan melakukan tanda pada kayu-kayu balak tersebut seolah-olah ia sudah mempunyai cop pengesahan bagi mengaburi pihak berkuasa, namun tanda itu adalah palsu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PGM Wilayah Lima di Bintawa.

Sehubungan itu, Mohd Saleh memberitahu, pihaknya telah menahan tiga krew kapal terbabit untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 85 Akta Perhutanan 1984 kerana membawa atau memiliki kayu balak secara haram.

Katanya, kayu-kayu balak yang telah dirampas itu akan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Sarawak untuk tindakan lanjut.

“PGM Wilayah Lima Sarawak akan terus melakukan rondaan serta pemantauan di kawasan-kawasan sungai di negeri ini bagi memastikan kegiatan kayu balak haram ini tidak berlaku.

“Jika orang ramai mempunyai maklumat mengenai kegiatan seumpama itu, mereka boleh segera melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis supaya tindakan pantas boleh diambil bagi membendung gejala berkenaan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Search This Blog