Top posts

Featured Posts

Gaji Minima RM1500 Syabas kepada kerajaan Selangor

JARINGAN RAKYAT TERTINDAS (JERIT) mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Selangor yang telah mengumumkan akan melaksanakan Akta Gaji Minima RM1500 bagi semua kakitangan awamnya mulai tahun 2012.


Gaji minima adalah salah satu tuntutan yang lama diperjuangkan oleh  JERIT dan Kesatuan Sekerja. Di Malaysia, majoriti pekerja masih menerima gaji yang rendah selaras dengan polisi gaji murah yang diamalkan oleh majikan. Di Malaysia 34% pekerja menerima gaji  di bawah RM700 iaitu di bawah garis kemiskinan, RM720. Ini telahpun diakui oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk S. Subramaniam. Statistik juga menunjukkan, pekerja Malaysia tidak mendapat peningkatan gaji lebih daripada 10 tahun. Jika ada pun, kenaikan tersebut adalah sangat minima dan tidak selaras dengan kenaikan harga barang serta kos hidup. 

Kita semua sedia maklum, di negara ini harga barang terus naik, kos perubatan terus naik, kos pendidikan terus naik.  Tambahan pula, baru-baru Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa Cukai Barangan dan Perhidmatan (GST) akan dilaksanakan selepas PRU Ke-13 yang dijangka akan diadakan bila-bila masa. Ini sudah pasti akan menjejaskan kehidupan golongan pekerja dan rakyat marhein.

Dalam keadaan ini, kerajaan Selangor telah mengambil satu langkah yang bijak untuk melaksanakan gaji minima sebanyak RM1500 selaras dengan tuntutan JERIT. Namun, Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional yang memerintah negara lebih daripada 54 masih tidak mahu menggunakan kewibawaan politiknya untuk mengimplimentasikan gaji minima di Malaysia. Walaupun Akta Majlis Konsultasi Gaji Negara telah diluluskan oleh Parlimen pada Julai 2011, tetapi JERIT berpendapat tiada usaha serius diambil oleh pihak Kerajaan untuk melaksanakan gaji minima. Pihak Kerajaan masih berdolah dalih mengenai jumlah gaji minima yang akan ditetapkan walaupun sudah banyak kajian dibuat dan mememorandum diserahkan kepada mereka. Pihak kerajaan seolah-olah tidak mahu mengakui kenyataan gaji minima RM1500 adalah sesuatu yang munasabah dan perlu untuk seseorang menjalani kehidupan asas yang selesa.
 
Oleh itu JERIT menggesa Kerajaan Barisan Nasional untuk tidak berlengah lagi untuk menetapkan Gaji Minima RM1500 bagi pekerja Malaysia dengan segera. JERIT juga menyarankan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang lain untuk  mengikuti langkah Kerajaan Negeri Selangor.
Sudah tiba masanya untuk pihak Kerajaan yang memerintah untuk memenuhi aspirasi rakyat dan menjamin taraf hidup yang baik.

Sivaranjani Manickam
Penyelaras Gabungan Pekerja Kilang dan Kesatuan (GPKK), JERIT

No comments:

Post a Comment

Search This Blog