Top posts

Featured Posts

Sabah mahu 6 jawatan Adun kosong diisi

KOTA KINABALU:  Umno Bahagian Kota Kinabalu hari ini menyokong cadangan ketua bahagian itu, Faisyal Y.H. Diego agar Kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah mengisi enam jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dilantik yang kini masih kosong.

Pengerusi Biro Pendidikan Umno Bahagian Kota Kinabalu, Mohd Bahrin Bin Mohd Karim berkata, masanya sudah tiba untuk kerajaan BN berbuat demikian memandangkan perkembangan politik semasa yang amat memerlukan.

“Saya amat bersetuju dengan pandangan Faisyal.  Enam jawatan Adun dilantik harus dipraktikkan semula memandangkan politik semasa amat memerlukan pemimpin-pemimpin daripada Umno yang tidak berjawatan untuk menyuarakan pandangan daripada akar umbi,” katanya.

Mohd Bahrin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Faisyal semasa Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kota Kinabalu 2011, kelmarin bahawa terdapat individu yang layak memimpin tetapi tidak mempunyai kawasan Dun atau Parlimen, untuk dilantik sebagai Senator atau Adun dilantik.

Perlembagaan Negeri Sabah memperuntukkan enam Adun dilantik. Namun, sistem ini tidak lagi dipratik selepas BN merampas tampuk kerajaan negeri selepas pilihan raya umum tahun 1994 dari Parti Bersatu Sabah (PBS).

Menurut Faisyal, Perlembagaan Sabah membenarkan kerajaan melantik enam orang individu sebagai Adun dilantik dengan mengguna pakai dan mengambil kira kawasan yang tidak dapat ditandingi oleh Umno atau parti Bumiputera yang lain.

Beliau mengambil contoh, kawasan di pinggir bandar dan bandar seperti bahagian Kota Kinabalu hanya akan diwakili oleh parti komponen yang mewakili kaum Cina.

“Maka adalah wajar untuk melantik kalangan pemimpin Bumiputera yang berpolitik di bandar sebagai Adun dilantik atau Senator. Dengan demikian pemimpin berkenaan dapat menyuarakan masalah Bumiputera yang tinggal di bandar atau pinggir bandar.

“Dengan erti kata lain, tugas mereka adalah khusus untuk memperjuangkan nasib Bumiputera tidak kira bangsa dan agama yang tinggal di bandar,” katanya.

Mohd Bahrin yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kota Kinabalu berkata, beliau bersetuju dengan pandangan ikhlas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Kota Kinabalu, bahawa Faisyal merupakan seorang pemimpin berkualiti di peringkat nasional.

Katanya, pengakuan pemimpin atasan Umno itu mengiktiraf kepimpinan Faisyal dalam mengemudi Umno Bahagian Kota Kinabalu yang bukan sahaja dapat memperkukuh dan menguatkan semangat kerjasama dan perpaduan di kalangan ahli-ahli parti, malah sebagai tulang belakang kerajaan hari ini.

Beliau optimis, gandingan Faisyal dan timbalannya, Seruji Nawawi akan membawa perjuangan Umno bahagian Kota Kinabalu ke era yang lebih cemerlang dan gemilang.

No comments:

Post a Comment

Search This Blog