Top posts

Featured Posts

Polis: SPRM hanya kerjasama selepas kematian Teoh

Seorang pegawai kanan polis memberitahu suruhanjaya diraja menyiasat kematian Teoh Beng Hock bahawa hanya selepas kematian setiausaha politik DAP itu, barulah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bekerjasama dalam siasatan polis.

Dalam keterangannya, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Shah Alam, DSP Kamaruddin Ismail, berkata, 20 kertas siasatan dibuka dari Mac 2005 hingga Julai 2009 berhubung aduan terhadap pegawai SPRM yang didakwa menggunakan kekerasaan ketika menjalankan soal siasat terhadap saksi.

Bagaimanapun, ia mengambil masa dua hingga empat tahun selepas aduan-aduan dibuat, untuk kawad cam diadakan untuk pengadu mengenalpasti pegawai terbabit kerana "kurangnya kerjasama dari SPRM".

Bagaimanapun, selepas kematian Teoh, SPRM secara tiba-tiba lebih bekerjasama, katanya disambut gelak ketawa mereka yang hadir.

Peguam Majlis Peguam, Cheow Wee bertanya kepada Kamaruddin sama ada beliau menyoal SPRM mengenai perkara itu, tetapi pengerusi suruhanjaya itu, Datuk James Foong mencelah, dan berkata: "Bukankah ianya sudah jelas?"

Foong bertanya: "Bolehkah kamu tunjukkan kes-kes di mana kamu sukar mendapat kerjasama SPRM?"

Kamaruddin menjawab beliau tidak begitu pasti, tetapi menegaskan bahawa dari pemantauannya, dia mendapati pegawai penyiasat SPRM mempunyai masalah untuk berkerjasama dengan polis.

"Bila mereka dipanggil datang ke balai polis itu (untuk dirakam kenyataan) mereka tidak datang dan pihak polis perlu pergi ke pejabat mereka untuk merakam kenyataan."

Pesuruhjaya T Selventhiranathan kemudiannya bertanya sama ada ianya "luar biasa" bagi pegawai badan pencegah rasuah itu tidak hadir walaupun atas arahan polis, Kamaruddin berkata: "Ya, mereka perlu hadir, tetapi mereka tidak...

"Dan, kerana mereka adalah kakitangan kerajaan, maka kami lebih berdiplomasi dan kami pergi ke tempat mereka untuk merakam kenyataan mereka."

Dalam tempoh empat tahun, kata Kamaruddin, polis mengadakan 13 kawad cam berubung siasatan mereka mengenai aduan terhadap SPRM.

Daripada 20 aduan yang dibuat terhadap SPRM Selangor, tambahnya, 13 adalah aduan terhadap penolong pegawai penguatkuasa SPRM, Mohd Ashraf Mohd Yunus (kanan) kerana didakwa menyebabkan kecederaan terhadap pengadu.

Ashraf adalah salah seorang daripada beberapa pegawai SPRM Selangor yang menyoalsiasat Teoh berhubung dakwaaan penyelewengan dana oleh bosnya, ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Menurut Kamuruddin lagi, 20 kertas siasatan tersebut telah diserahkan kepada pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya, manakala 13 fail siasatan, belum lagi disiapkan dan tujuh ditanda 'NFA' atau tiada tindakan lanjut.

Ditanya mengapa kes-kes tersebut dikategorikan sebagai 'NFA', Kamaruddin berkata, terdapat beberapa sebab, antaranya kurang kerjasama dari SPRM dan sesetengah pengadu menarik balik aduan mereka. Baca berita penuh

Sementara itu, Bernama melaporkan, suruhanya menyiasat kematian Teoh diberitahu bahawa mendiang adalah perantara dan terlibat dalam menentukan sebut harga bagi projek yang diluluskan oleh ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Ahli perniagaan Lee Wye Wing, 52, berkata Teoh mengetahui setiap jumlah tuntutan yang dipohon daripadanya dan Teoh akan menyampaikan maklumat (jumlah tuntutan) kepada Ean yang merupakan ketuanya (Yeoh).

Lee berkata sebelum jumlah tuntutan itu dipersetujui, beliau akan menghantar e-mel kepada Teoh dan pindaan akan dibuat sekiranya Ean tidak bersetuju dengan harga yang ditetapkan.

"Sebarang pindaan yang dibuat oleh Ean akan dimaklumkan kepada saya melalui Teoh dan saya kemudiannya akan meminda harga yang telah ditetapkan oleh Ean," katanya ketika disoal peguam Datuk Seri Muhammed Shafee Abdullah yang mewakili SPRM.

Lee berkata salinan sebut harga itu yang telah ditandatangani oleh pemilik syarikat telah dihantar kepada Ean untuk simpanan.

Beliau menafikan dakwaan Muhammed Shafee bahawa syarikat milik isterinya, iaitu WSK Services, dibiayai oleh ahli DAP dan menafikan
beliau menggunakan syarikat Bumiputera untuk memperoleh projek bagi kontraktor Kelas F.

Syarikat bumiputera itu adalah MKMN Enterprise, MA Bina Melur Enterprise, Fizami Construction dan Aris Enterprise.

Lee bersetuju dengan Muhammed Shafee bahawa syarikat-syarikat berkenaan mendapat wang pendahuluan daripada DAP sebelum mendapat bayaran balik daripada Pejabat Tanah dan Daerah.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan Muhammed Shafee bahawa isterinya dan seorang anak saudaranya mempunyai hubungan dengan
pemimpin tertinggi DAP.

Teoh, 30, setiausaha politik Ean yang merupakan anggota exco kerajaan Selangor, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Selain Foong, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik,

Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom dan Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka'.

Prosiding disambung esok.

No comments:

Post a Comment

Search This Blog