Top posts

Featured Posts

Tempoh siap QEH II dilanjut hingga 23 Mei

Menteri Kesihatan memberi amaran bahawa selepas
tarikh itu tidak ada lagi sebarang tempoh lanjutan.
KOTA KINABALU: Projek penambahbaikan yang melibatkan Hospital Queen Elizabeth (QEH) II di Luyang dekat sini yang sepatutnya siap hujung Februari lepas dilanjutkan hingga 23 Mei tahun ini. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi amaran bahawa selepas tarikh itu tidak ada lagi sebarang tempoh lanjutan diberikan kepada pihak kontraktor dan mereka perlu menyiapkannya pada masa yang ditetapkan.

Katanya, kelewatan projek itu disebabkan oleh beberapa masalah selain sebahagian tingkat di bangunan itu mempunyai pesakit yang mana keselamatan mereka perlu diutamakan.

“Kementerian telah memberi lanjutan masa dan saya berharap pihak kontraktor dan juga Jabatan Kesihatan Negeri dapat bekerja keras dalam menyegerakan projek terbabit,” kata Liow kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek pembangunan menara kembar QEH 1 di sini kelmarin.

Liow berkata, QEH II memerlukan sebanyak 455 buah katil yang mana setakat ini terdapat 150 buah katil yang digunakan dan 81 buah katil lagi di tingkat 7A yang sudah siap diubahsuai menjadikan jumlah keseluruhan katil yang ada sebanyak 231 buah katil.

Jelasnya, terdapat tiga bahagian untuk projek berkenaan iaitu bahagian A, penambahan tempat letak kereta; B, lif ‘on call’ untuk doktor dan C, pengubahsuaian tingkat enam, tujuh dan sembilan.

“Bagi bahagian A dan B ia sudah siap sepenuhnya dan bagi tempat letak kereta kita sedang dalam permohonan untuk Sijil Menduduki (OC),” katanya sambil menambah sebanyak 320 ruang letak kereta disediakan untuk pesakit dan kakitangan hospital.

Kos binaan QEH II RM76.2 juta
Kesemua kos bagi projek pembangunan di QEH II melibatkan sebanyak RM76.2 juta. Sebelum ini, bangunan QEH II adalah dikenali sebagai Sabah Medical Centre (SMC), sebuah hospital swasta. Kerajaan membeli bangunan ini dengan harga RM370 juta dua tahun lepas apabila bangunan lama QEH yang dibina lebih 20 tahun lalu tidak selamat didiami.

Bangunan lama QEH setinggi lapan tingkat itu diroboh bagi memberi laluan untuk pembangunan projek menara berkembar QEH 1.

Selain itu katanya, pembinaan bagi Jabatan Pengimejan dan penambahan tiga Bilik Pembedahan (OT) di QEH I sudah pun siap sepenuhnya dengan masing-masing melibatkan kos sebanyak RM12 juta dan RM3 juta.

Mengulas mengenai projek pembangunan menara kembar QEH 1, Liow menjelaskan, disebabkan cuaca yang tidak mengizinkan dengan keadaan hujan lebat, projek berkenaan agak terlewat daripada jadual yang ditetapkan.

“Pada asasnya ia mengikut seperti yang dijadualkan, namun disebabkan hujan lebat ia agak terlewat lebih kurang 10 hari. Namun, saya faham tentang keadaan itu dan akan membuat pemantauan mengenainya,” jelasnya.

Projek yang melibatkan bangunan 10 tingkat itu dijangka siap pada Disember 2012 dengan melibatkan kos sebanyak RM364 juta dan bakal memuatkan sebanyak 660 buah katil.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Dr. Yusof Ibrahim; Pengarah Hospital QEH, Dr. Zubaidah Ahmad Babji dan Pengerusi MCA Sabah, Datuk Edward Khoo Keok Hai yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah.

No comments:

Post a Comment

Search This Blog